manggester

Wednesday, November 30, 2011

Sokong Setia


Ungkapan mereka yang konon-kononnya ultras
"jika tak mampu menyokong ketika kalah, jangan bersorak ketika menang".


Ungkapan penyokong setia yang sayangkan bola sepak Malaysia
"kalau tidak boleh dikritik, lebih baik balik main guli belakang rumah"



:: aku pelik dengan alasan faktor keletihan sebagai punca kekalahan. sedangkan aku tengok budak-budak kampung main bola setiap hari tak ada pula mereka bisingkan pasal letih.

Tuesday, November 22, 2011

Paper


sejak dari suapan pertama nasi lemak sehingga hirupan terakhir kopi pekat buatan tangan ibuku aku perhatikan ayah yang sedang menelaah paper hari ini. sehelai demi sehelai ayah menyelak. sekali-sekali dia berhenti lama dan sekali-sekala dia terus menyelak kemuka seterusnya tanpa membaca.

pada dapatan aku, selesai aku membasuh pinggan ini mungkin hanya tinggal dua atau tiga helai lagi yang masih belum ditelaah oleh ayah. aku menunggu ditepi. ayah melirik aku dihujung ekor matanya. pada kebiasaannya giliran aku selepas giliran ayah membaca paper.

sehelai lagi baki paper ditangan ayah. lama juga ayah merenung helaian terakhir itu. aku tabah menanti. mungkin berita sukan di helaian terakhir itu menarik minat ayah untuk membaca. aku rilek dulu sambil menuang kopi kecawan yang belum aku basuh lagi. aku teguk sikit demi sikit.

aku mula hilang sabar. ada sesuatu yang tidak kena dengan ayah. aku bangun dan cuba perhatikan ayah dari dekat. seperti yang aku duga. tak perlu aku tunggu disitu. tidur ketika membaca paper adalah sesuatu yang normal bagi ayah. sedangkan ketika memandu pun ayah boleh melelapkan mata, inikan pula ketika membaca paper. ayah hebat! itu memang aku akui.

aku berlalu pergi. aku tahu, bila ayah terjaga nanti pasti dia akan letakkan paper di rak bawah meja itu. ketika itulah giliran aku membaca paper pula.

Thursday, November 17, 2011

baju panjang tangan


dulu sepupu aku pernah cakap kepada aku. "aku balik kampung naik bas. sejuk ada ekon. aku pakai baju 'panjang tangan' ". aku tertongong jadinya. apakah? baju panjang tangan?. adakah baju si pencuri? setelah sejenak awan-awan fikiran membesar diatas kepala aku memikirkan baju panjang tangan, lantas awan-awan itu hilang. "baju lengan panjang la" sampuk abang aku. oh baju lengan panjang. bukan baju panjang tangan yang dinyatakan oleh sepupuku itu tadi. sepupu aku mengangguk setuju. seraya kami tertawa.

zaman kanak-kanak memang menyeronokkan. imaginasi yang terlampau hiperbola!

Monday, November 14, 2011

KABEL


mata aku meliar mencari parkir untuk meletakkan motor ayahku ini. semua parkir motosikal penuh. "ah! ini taiping! parking saja tepi jalan ni. majlis tak saman punya", hati aku bicara sendiri. yakin sangat bahawa dipekan ala-ala koboi ini memang jarang pihak majlis perbandaran saman motor-motor buruk.

aku lihat cermin sisi. betul-betulkan remos sikit dan cuba kenakan tali leher yang sudahpun aku ikat dirumah tadi. seorang awek lalu di belakang aku. sesekali dia menjeling kearah kasut aku yang berkilat. tapi aku tahu sebenarnya dia memang terpegun dengan ke-smart-an aku pagi ini. hendak temuduga dipejabat kerajaan, kenalah kemas sikit. biar pun hanya untuk jawatan kerani.

aku melangkah masuk dengan penuh yakin. fail sijil aku jinjing di tangan kiri dan borang permohonan aku periksa di tangan kanan. fuh! ramai betul mereka yang hadir untuk temuduga. ada yang kacak-kacak tapi tidak lebih dari aku (aku benci lagu lelaki seperti aku dari alif satar. macam harem!). ada yang bertudung ayu. ada yang bertudung lilitan ular sawa. tidak kurang juga yang berambut teroksidasi.

aku hantar borang permohonan dikaunter pendaftaran. pegawai wanita itu menyambutnya dan memasukkan kedalam fail kertas. dan diatas fail itu ditulis pula nama penuh aku. katanya "ambil nombor disana dan tunggu sehingga dipanggil". 143 nombor yang aku terima. sekarang baru giliran yang ke-30. "huh", aku mengeluh kesal. jika aku tahu ramai ini yang hadir, pagi-pagi setelah subuh aku beratur.

sementara menunggu giliran aku, aku perhatikan saja calon-calon temuduga yang lain. ada yang resah. ada yang tidak berhenti-henti bersembang dan ada juga yang melayan perasaan sendirian. sekali sekala aku juga bersembang dengan beberapa calon disitu untuk meghilangkan rasa bosan.

hampir tiba giliran aku. duduk dibangku diluar bilik temuduga. teringat aku kepada filem Rock lakonan Hasnul Rahmat. situasi dimana ketika beliau menghadiri temuduga di LLN (Lembaga Lektik Negara). semua calon duduk bersebelahan. ada empat bilik kesemuanya. aku dibilik ketiga.

dalam aku menunggu itu aku lihat ada diantara pegawai dipejabat itu meminta kad pengenalan dari salah seorang calon secara sembunyi-sembunyi. mesra juga keadaan mereka. seperti sudah lama berkenalan. kemudian kad pengenalan itu dibawa memasuki bilik penemuduga. " KABEL ", itu yang terlintas difikiranku. inilah yang dinamakan kabel. seperti juga filem Rock itu. ketika Pak Long bersama anak saudaranya berbual mengenai projek bapanya.

kalau sentiasa ada kabel, memang susahlah orang-orang yang hanya bergantung kepada nasib seperti aku untuk mendapat kerja. puih! aku seperti ingin segera beredar. tapi aku tabah juga. untung sabut, timbul. untung batu, tenggelam. aku setia menunggu sehingga selesai aku ditemuduga.

jam sudahpun menunjukkan jam 3 petang. letih menunggu membuatkan aku lupa kepada kabel-kabel tadi. ah. pedulikan mereka. kalau ada rezeki tidak kemana. yang penting kita mencuba. tapi satu pesanan aku kepada mereka yang mempunyai kabel-kabel itu, kalau dapat kerja jangan lupa belanja aku makan. kalau tak jumpa aku, korang sedekahlah sikit rezeki korang tu kepada fakir-fakir miskin. tidak salah berkongsi!

Sunday, November 13, 2011

AIMwth!


semua penggiat blog sibuk pasal AIM. wth!






.

Saturday, November 12, 2011

Sejarah


" usah terlalu ghairah mencipta sejarah, kelak anak cucu mu yang parah" - muzul

Thursday, November 10, 2011

najis paling berat


seorang paksu sedang berbual dengan anak saudaranya yang sudah bersekolah:

" najis apa paling berat?", soal paksu kepada anak saudaanya.

" najis mughallazoh", jawab anak saudaranya tanpa berfikir panjang. kerana baginya makan kacang lebih sukar dari menjawab soalan itu.

" salah!", paksu cuba menidakkan jawapan anak saudaranya.

" betul lah. cikgu kat sekolah ajar", anak saudaranya itu tegas dengan pendiriannya.

" najis paling berat, najis gajah lah. kan berat kalau diangkat", paksu cuba mempermainkan anak saudaranya.

" eleh. memanglah. paksu pernah angkat tahi gajah. memanglah berat! eeii..paksu pernah angkat tahi gajah." anak saudaranya membalikkan permainan tadi kepada paksunya.

" erk!", paksu terasa seperti tahi gajah telah dilemparkan kemukanya pula.




Sunday, November 6, 2011

Salam Idul-adha

Saturday, November 5, 2011

6ixth Sense ft Saujana - Penerang Hati



Mencinta Mu terangkan jiwa
Merindu Mu hatiku selalu
Hanya diri Mu satu cintaku

Ku akan mencinta Mu
Selalu merindu Mu seluruh jiwaku
Kau terangi aku

Engkau penjaga hatiku
Pendamping jiwaku
Cerahkan cintaku
Cinta yang abadi

Friday, November 4, 2011

Zulhijjah & IdilAdha : Beberapa Isu & Hukum

Assalamualaikum. salam jumaat. pagi ini aku nak kongsikan serba sedikit tentang bulan Zulhijjah dan Idiladha. disebabkan aku tidak berapa pandai dalam penulisan hal agama, jadi aku copy dan paste sahaja. jika ada kemuskilan sila rujuk sumber rujukan dibawah. diharap kita sama-sama mengambil manfaat.

sumber rujukan : zaharuddin.net




KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).






AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب


Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم


Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها


Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan

1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :



فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya:

"tidak boleh !"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:

"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam

Sekian

Doha, Qatar

27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)

Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H - Saudi)

KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )


[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197

[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436

[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313

[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200

[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225

[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201

[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails